Diriwayatkan oleh Asy-Syaikhoon (Al-Bukhari dan Muslim) yang bersumber dari Jabir bahawa Rasulullah SAW bersabda : "Ketika aku telah selesai uzlah selama sebulan di Gua Hira, aku turun ke lembah. Sesampainya ke tengah lembah, ada yang memanggilku, tetapi aku tidak melihat seorangpun di sana. Aku mengadah kepala ke langit. Aku cepat-cepat pulang dan berkata (kepada orang rumah) : "Selimuti aku! Selimuti aku!" Maka turunlah ayat ini (Al-Muddhatthir : 1-2) sebagai perintah untuk menyingsing selimut dan berdakwah.
Diriwayat oleh Ath-Thabarani dengan sanad yang daif yang bersumber dari Ibnu 'Abbas bahawa Al-Walid bin Al-Mughirah membuat makanan untuk kaum Quraisy. Ketika mereka makan-makan, Al-Walid berkata kepada teman-temannya : " Nama apa pantas kalian berikan kepada orang seperti ini (Muhammad)?" Dia bukan tukang sihir." Sebahagian mereka berkata : "Kaahin (tukang tenung). Yang lainnya berkata : "Dia bukan tukang tenung." Sebahagian mereka berkata lagi : "Dia mempunyai sihir yang membekas (kepada orang lain)." Semua pembicaraan itu sampai kepada Nabi SAW sehingga beliau pun merasa sedih. Beliau mengikat kepalanya serta berselimut. Maka Allah menurunkan ayat-ayat ini (Al-Muddhathir : 1: 7 ) sebagai perintah untuk menyinsingkan baju dan berdakwah.
AYAT 11
Ayat ini dan beberapa ayat berikutnya diturunkan mengenai seorang kafir Mekah, pemimpin Quraisy bernama Al-Walid bin Mughirah. Diriwayatkan oleh Al-Hakim dan disahihkannya, yang bersumber dari Ibnu 'Abbas. Sanad hadis ini sahih menurut syarat Al-Bukhari. Diriwayatkan pula oleh Ibnu Jarir dan Ibnu Hatim bahawa Al-Walid bin Al-Mughirah datang kepada Nabi SAW. Kemudian beliau membaca Al-Quran kepadanya sehingga ia pun tertarik.
Kejadian ini sampai kepada pengetahuan Abu jahal, sehingga ia sengaja datang kepada Al-Walid sambil berkata : "Hai Pakcik! Sesungguhnya kaum mu akan mengumpulkan harta untuk diberikan kepadamu dengan maksud agar engkau mengganggu Muhammad." Al-Walid berkata : "Bukankah kaum Quraisy telah mengetahui bahawa aku yang paling kaya di antara mereka?" Selanjutnya Abu Jahal berkata : "Kalau demikian ucapkanlah sebuah perkataan yang menunjukkan bahawa engkau ingkar dan benci kepadanya (Muhammad)." Al-Walid berkata : "Apa yang harus aku katakan? Demi Allah tidak ada seorang pun diantara kalian yang lebih tinggi syairnya, sajaknya ataupun kasidahnya daripada gubahanku, bahkan syair-syair jin pun tidak ada yang mengungguli aku.
Demi Allah, ucapannya manis, bagus, indah, gemilang dan cemerlang. Ucapannya tinggi, tidak ada yang lebih tinggi daripadanya." Abu Jahal berkata : "Kaummu tidak akan senang sebelum engkau menunjukkan kebencianmu kepada Muhammad." Al-Walid bekata : "Baiklah aku akan berfikir dahulu." Setelah berfikir diapun berkata : "Benar, ucapan Muhammad itu hanyalah sihir yang berkesan, yang memberi bekas kepada yang lainnya." Maka turunlah ayat ini (Al-Muddhathir : 11) sebagai ancaman kepada orang-orang yang mendustakan beliau.